Friday 12 July 2013

Aku dan robot



Antara kenangan manis sepanjang menjadi guru ialah ketika menjadi guru penyelaras kelab robotik. Di kebanyakan sekolah, memang terdapat pertandingan membuat robot. Robot yang dibuat itu mampu membuat pelbagai gerakan dan mengesan sesuatu berdasarkan kreativiti dan kemahiran orang yang membuat pengaturcaraan di dalam komputer. Pada masa ini jenis robot yang dipertandingkan di peringkat sekolah menengah ialah LEGO RCX yang dilengkapi beberapa sensor dan motor. Aturcara perlu dibuat di dalam komputer terlebih dahulu sebelum didownload ke dalam 'otak' robot tersebut. Biasanya di dalam pertandingan, peserta perlu mencipta robot yang boleh membuat pelbagai gerakan mengikut syarat yang ditetapkan oleh penganjur.



Alkisahnya pada suatu hari, aku diberi tugas untuk membuat gimik perasmian dalam satu majlis yang dihadiri oleh Menteri Besar. Fikir punya fikir, dapatlah idea untuk membuat satu gimik yang memerlukan perasmi menekan butang dan robot perlu menulis perkataan tertentu di atas kertas. Apa yang lebih memeningkan kepala ialah robot seperti ini belum pernah dibuat orang. Aku terpaksa memerah otak sendiri untuk mencari idea bagaimana nak buat robot menulis.

2 minggu sebelum majlis, aku dah mula reka beberapa model robot yang boleh memegang marker. Beberapa percubaan awal gagal, masalahnya robot itu tak boleh menulis secara tepat dan kemas. Selepas saban malam duk tercongok depan robot tu, akhirnya timbul lah idea untuk buat robot yang ada tayar 8 dan boleh bergerak secara tepat ke kiri, kanan, depan dan belakang.

Ideanya cukup mudah... tapi untuk jadikan realiti mmg satu kerja yang memenatkan. Berpuluh kali try n error, pelarasan demi pelarasan akhirnya mula menampakkan hasil. Dengan hanya ada 2 set, cabaran juga bertambah untuk menggunakan apa yang ada. Setiap mlm selama hampir 2 minggu aku berjaga sampai ke larut malam untuk memastikan robot ini menjadi kenyataan. Dan sehari sebelum majlis, aku berjaya mencipta robot itu mengikut apa yang dirancang.



Pada hari perasmian, semuanya telah sedia. Hanya tinggal MB untuk menekan butang 'Go', marker juga telah bersedia untuk menulis apa yang telah aku programkan. Tiba saat dan ketika MB selesai memberi ucapan, semua mata bertumpu pada majlis yang paling dinanti-nantikan. Tersedia di sebelah pentas segala bagai alat untuk gimik. Semua VVIP dan hadirin mengerumuni tempat perasmian. Aku memberikan 'otak' robot tersebut kepada MB, "tekan butang hijau tu Dato'", mintaku kepadanya. MB pun baca bismillah dan tekan. Aku berdebar-debar, tak tau apa akan jadi, harap-harap menjadilah!.. Robot mula bergerak, marker mula menyentuh kertas yang terhampar..robotku mula menjalankan tugasnya, tayar bergolek ke kiri dan kanan. Mata semua orang bertumpu pada robotku, berdicit-dicit bunyi marker di toreh di atas kertas. menulis sesuatu.. "Apa yang ditulis tu?" tanya seseorang sesama sendiri. Aku tengok betul-betul, tiba-tiba aku jadi panik, ehh..kenapa pulak tak keluar tulisan? otakku ligat berfikir sementara robotku masih tekun menulis sesuatu yang tak pasti.

Ah sudahhhh!! macam mana pulak tak keluar tulisan ni? gerutuku lagi. Hadirin masih menanti-nanti apa yang berlaku seterusnya. Sepatutnya ada perkataan PIBG. Setelah separuh jalan robot tu bergerak, maka muncullah perkataan BG sahaja di atas kertas tersebut. "Dakwat kering Dato'! ujarku sambil buat muka tak bersalah..hadirin ketawa. Rupanya dakwat kering sebab aku buka penutup marker tu terlalu awal!

No comments:

Post a Comment